Kejutan Hafizh Hafizh menjulang trofi di atas podium selepas menjuarai perlumbaan sokongan AMA Pro Vance & Hines Harley Davidson, kelmarin.
Kuala Lumpur: Penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah melakar sejarah di Grand Prix Red Bull Indianapolis kelmarin apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai perlumbaan sokongan AMA Pro Vance & Hines Harley Davidson.

Selepas menempah petak ketiga pada Sabtu, Hafizh, 19, terus mempamerkan prestasi kelas dunia menerusi jentera Harley-Davidson XR1200 dalam Race 2 untuk mengenepikan penunggang pilihan Steve Rapp yang sebelum ini mencatat empat kemenangan berturut-turut. 
"Saya cuba perbaiki prestasi pada setiap sesi. Kami bermula dengan baik pada awal perlumbaan dan kemudian kami cuba perbaiki lagi suspensi belakang untuk perlumbaan sebenar (kelmarin) kerana saya rasa kurang selesa semasa membelok," kata Hafizh dalam kenyataan semalam. 


Katanya: "Keadaan (jentera) bertambah baik dan sebab itu kenapa saya berjaya berada di depan. Hanya Rapp dan saya berada di depan dan saya kekal berada di tempat kedua hingga pusingan terakhir sebelum memintasnya,” katanya. - BERNAMA